Baca Bagaimana Proses Disinfeksi Mengawal Penularan Virus yang Anda Wajib Tahu!

Share
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

Assalamualaikum semua, apa khabar? KL harap semua sihat walafiat dan dapat bersabar dalam mematuhi saranan dari pihak berkuasa dalam usaha kita untuk memerangi wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil langkah untuk menjalankan proses disinfeksi secara besar-besaran ke atas kawasan-kawasan berzon merah. Lihat di sini.

proses disinfeksi dalam mengawal penularan virus
Proses disinfeksi dijalankan di kawasan tumpuan ramai

KL memandang serius usaha kerajaan dalam menjalankan proses disinfeksi ini. Usaha ini patut dicontohi oleh orang ramai.

“Eh, macam mana KL? Takkan nak rakyat pulak yang pergi sembur-sembur benda alah tu dengan baju 10 lapis?…”

KL bukannya suruh rakyat sembur-sembur kat luar, tapi duduk diam-diam di rumah, sembur-sembur lah kat dalam rumah. Jangan ingat duduk di rumah dah selamat sangat. Proses disinfeksi juga perlu dijalankan di dalam rumah. Bagaimana? Jom baca sampai habis!

Penularan Virus COVID-19

Wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia kini masih belum menunjukkan kesan pengurangan yang positif. Kadar jangkitan yang tinggi di beberapa negara telah memaksa mereka untuk membuat kuarantin besar-besaran supaya wabak ini tidak merebak lebih luas.

Bagi negara-negara dengan kadar jangkitan yang lebih terkawal seperti Malaysia, pengawalan pergerakan, penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan merupakan langkah utama yang dijalankan dalam mengawal penularan ini. Tanpa vaksin, virus ini masih berleluasa dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja serta menyebabkan pelbagai simptom penyakit yang boleh membawa kepada kematian.

Oleh itu, ingin KL tekankan bahawa perkara ini adalah tanggungjawab semua rakyat untuk memastikan tahap kebersihan diri dan persekitaran yang maksimum, serta mengambil kesemua langkah kawalan termasuklah sentiasa menggunakan pelindung muka, mengelakkan dari menyentuh muka serta elakkan interaksi sosial tanpa keperluan mendesak. Walaupun begitu, ianya tidak memadai tanpa penjagaan kebersihan persekitaran juga kerana tahukah anda bahawa virus ini mampu bertahan dan kekal stabil pada permukaan untuk jangka masa tertentu!

proses disinfeksi bagi membunuh virus
Virus mampu hidup dalam jangka masa tertentu di permukaan berbeza

Jangka Hayat Virus COVID-19

Kajian daripada National Institute of Allergy and Infectious Diseases menunjukkan jangka hayat dan kemampuan virus COVID-19 untuk kekal ‘hidup’ dan stabil pada permukaan seperti berikut:[1]

  • Permukaan berkayu selama 1 hari
  • Kain atau pakaian selama 1 hari
  • Permukaan kaca selama 2 hari
  • Duit atau wang selama 2 hari
  • Permukaan keluli tahan karat (stainless steel) dan plastik selama 4 hari
  • Bahagian dalam penutup muka (face mask) selama 4 hari
  • Bahagian luar penutup muka selama 7 hari

Bawa bersabar, jangan pengsan dulu! Takut ada yang pengsan pula sebab terkejut sangat baca ni. Maafkan KL yang hanya berkongsi fakta demi kebaikan semua. Tambahan, permukaan-permukaan yang KL nyatakan ini adalah sangat dekat dengan kita kan? Rumah kayu, pakaian harian, pinggan cawan kaca, wang, peralatan memasak di dapur, malahan penutup muka itu sendiri yang kita sangkakan paling selamat!

Ini menunjukkan bahawa tanpa proses disinfeksi, permukaan-permukaan yang tidak dibersihkan ini masih boleh menyebabkan jangkitan pada manusia tanpa perlu kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19 pun… Jelas kan.

Oleh yang demikian, proses disinfeksi di dalam rumah adalah sangat-sangat penting untuk memastikan kesemua virus ini dibasmi sepenuhnya dengan menggunakan produk disinfektan yang efektif.

proses disinfeksi di dalam rumah
Proses disinfeksi adalah tanggungjawab individu bagi menjamin persekitaran yang bebas kuman dan virus

Cara Disinfeksi Yang Berkesan

Sebelum menjalankan proses disinfeksi, sekiranya permukaan tersebut terlalu kotor maka perlu dibersihkan daripada habuk dahulu, tumpahan berminyak dan segala jenis kotoran terlebih dahulu, dengan menggunakan sabun dan air atau pencuci yang sesuai. Permukaan tersebut perlu dibasuh, dilap, atau digosok dengan menggunakan peralatan yang sesuai seperti kain lap, mop ataupun berus, seterusnya perlu dibilas dengan air. Proses ini akan membersih dan membuang semua kotoran secara fizikal dan mekanikal daripada permukaan yang kotor itu. Baca penulisan KL mengenai mekanisma pembasmian sabun di sini.

Setelah permukaan dibersihkan, barulah proses desinfeksi boleh dilaksanakan. Permukaan yang terlalu kotor akan menyebabkan bahan desinfektan menjadi tidak efektif dan tidak dapat berfungsi dengan baik. Jika hanya menggunakan proses cucian, tidak semua kuman dapat dinyahaktifkan. Kajian yang sama menunjukkan virus COVID-19 masih berada pada permukaan yang dibersihkan dengan larutan sabun dan air selepas 5 minit. Hanya bahan tertentu yang diklasifikasikan sebagai bahan disinfeksi sahaja boleh bertindak membasmi kesemua kuman termasuk virus COVID-19 dengan efektif.

Proses disinfeksi perlu dilakukan dengan menggunakan produk disinfektan yang mengandungi bahan aktif yang diperakui dan diuji mampu membasmi kesemua bakteria, kulat, spora dan virus dengan berkesan. Bahan-bahan aktif ini disenaraikan dalam United States Environmental Protection Agency (EPA) dan The National Environmental Agency (NEA) Singapore, dan telah diperakui dapat membunuh virus COVID-19 dengan penggunaan yang betul dari segi formulasi dan cara penggunaan.

Contoh Produk Disinfeksi

Produk disinfektan seperti HAUS VIR Disinfectant Spray mengandungi 4 bahan aktif yang terlibat untuk pembasmian virus, dan telah melalui kajian makmal mengikut standard EN1040:2005, iaitu standard ujian pembasmian kuman termasuklah bakteria, kulat, fungus dan yis. Hasil ujian makmal ini menunjukkan HAUS VIR Disinfectant Spray merupakan antara produk terbaik yang dapat membunuh sehingga 99.999% kuman.

ujian makmal HAUS VIR Disinfectant Spray
Ujian makmal menggunakan HAUS VIR Disinfectant Spray

Tambahan lagi, HAUS VIR Disinfectant Spray ini adalah merupakan produk tempatan yang dihasilkan oleh kilang pembuatan yang diiktiraf GMP dan berstatus HALAL oleh JAKIM. Produk ini dihasilkan khusus untuk penggunaan di persekitaran yang amat dekat dengan masyarakat seperti di dalam rumah, di tempat kerja, malah juga di tempat awam kerana ianya bersaiz kompak dan mudah dibawa ke mana-mana. Baca lebih lanjut mengenai HAUS VIR Disonfectant Spray ini di sini ya.

Disinfeksi permukaan dilakukan dengan menyemburkan larutan disinfektan tersebut pada permukaan yang dikehendaki, sehingga ianya meliputi keseluruhan permukaan. Kemudian, biarkan larutan tersebut teraktif untuk jangka masa 5 hingga 10 minit (“contact time” antara disinfektan dengan kuman dan virus) bergantung kepada formulasi produk. Seterusnya, lap permukaan tersebut dengan kain yang bersih dan kering. Dengan penggunaan yang betul, kuman dan virus yang tidak terzahir oleh mata kasar manusia dapat dinyahaktif, dibunuh, dan tidak lagi dapat menjangkiti manusia.

Mengapakah Proses Disinfeksi Sangat Penting?

Seperti yang KL jelaskan, kuman seperti virus COVID-19 boleh hidup pada permukaan sehingga berhari-hari lamanya. Membersih dengan menggunakan pencuci seperti sabun tidak cukup untuk membunuh virus ini. Virus bersaiz kecil dan sangat halus. Sifat-sifat virus dan strukturnya adalah unik dan tidak sama sekali menyerupai kotoran fizikal yang dilihat dengan mata kasar.

Selain itu, proses disinfeksi dapat menghasilkan persekitaran yang lebih bersih dan steril. Jika terdapat mana-mana individu yang secara tidak sengaja membawa virus ini pada pakaian, beg ataupun peralatan yang dibawa bersama, virus tersebut dapat dibasmi dengan proses disinfeksi. Oleh yang demikian, virus tidak akan menular dan menjangkiti orang lain. Kerana itulah, pentingnya membawa hand sanitizer dan disinfectant bersama setiap masa sebagai persediaan. #kitajagakita kan?

proses disinfeksi untuk melawan virus dan kuman
Amalan kebersihan dan perlindungan diri menggunakan penutup muka dan disinfectant.

Disamping itu, virus COVID-19 boleh berada di dalam tubuh pesakit tanpa menunjukkan sebarang tanda. COVID-19 mempunyai masa inkubasi selama 14 hari di mana simptom seperti demam, batuk, selsema dan sebagainya hanya akan bermula selepas 7 hari anda dijangkiti. Ada juga kes pesakit positif COVID-19 yang tidak menunjukkan sebarang simptom yang jelas, sehingga terlambat dan telah pun secara tidak sengaja menjangkiti individu yang lain.

Ada juga individu yang mempunyai simptom berbeza seperti migrain, kegatalan pada kulit, hilang deria rasa serta bau dan sebagainya. Simptom berbeza ini menyebabkan mereka tidak menyangka dijangkiti COVID-19, lalu tidak mendapatkan rawatan yang sepatutnya dan terus menjangkiti individu lain. Oleh yang demikian, proses disinfeksi amatlah penting agar setiap individu dapat melindungi diri dan persekitaran dari sebarang cecair badan atau droplets dari individu pembawa virus, mengelakkan jangkitan, sekaligus memutuskan rantaian virus ini.

Walaupun virus COVID-19 bukanlah sejenis virus ‘airborne’ atau berjangkit melalui udara, namun terdapat juga banyak kes dimana jangkitan berlaku kepada kumpulan orang yang berada di satu tempat tertutup yang sama seperti bilik mesyuarat, dewan, masjid dan sebagainya walaupun tanpa bersentuhan. Hal ini kerana penyebaran virus tersebut melalui titisan nafas atau droplets dari batuk, selesema, atau percakapan sepanjang berada di dalam kawasan tertutup.

Maka wujudlah pelbagai jenis kluster atau kumpulan pesakit COVID-19 ini. Paling terbaru atau akan datang adalah “kluster shopping raya”. KL nak kata, pentingnya penjagaan dan perlindungan diri. Hehehe. Proses disinfeksi yang kerap serta penyekatan aktiviti sosial yang berpanjangan dapat mengurangkan potensi virus ini dari terus menular.

Impak Pandemik COVID-19 Terhadap Masyarakat dan Ekonomi

Tidak dinafikan, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ini memaksa kita semua mengubah cara hidup dengan sekelip mata. Cara berinteraksi juga terbatas. Dengan keperluan untuk sentiasa memakai pelindung muka apabila keluar dari rumah lagi, penggunaan hand sanitizer lagi, penjarakan sosial lagi. Aktiviti bersosial seperti riadah, malahan pergerakan ke tempat kerja juga terbatas menyebabkan ada di antara kita langsung tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa sehingga terputus sumber pendapatan.

Bagi premis dan syarikat yang membuka kembali perniagaan mereka setelah kerajaan memberi kelonggaran, pematuhan kepada SOP yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara amatlah penting. Patuhilah dengan sebaik mungkin kerana masih terdapat risiko berlakunya jangkitan di tempat kerja seperti yang terjadi kepada kluster pembinaan dan kluster pasar borong baru-baru ini. Oleh itu,segala langkah berjaga-jaga mesti diambil bagi mengelak sebarang penularan wabak COVID-19 termasuklah saringan suhu badan, memastikan pekerja mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi, sentiasa memakai pelindung muka dan sarung tangan, serta premis hendaklah dinyahkuman sekurang-kurangnya 2 kali sehari.

Majikan bertanggungjawab untuk:

  1. Memberi komitmen terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja. Kesemua alatan tambahan termasuk termometer suhu, hand sanitizer dan disinfektan semuanya meningkatkan kos operasi syarikat, termasuk kemungkinan penambahan masa disebabkan SOP baharu yang dikuatkuasakan. Majikan turut memikul tanggungjawab penuh bagi menanggung kos saringan dan rawatan pekerja yang dikesan mempunyai simptom COVID-19.
  • Mengambil berat sumber pendapatan pekerja bagi memastikan kelangsungan hidup pekerja pada waktu yang amat mencabar ini, walaupun dengan kekangan ekonomi dan risiko penularan wabak Covid-19.
  • Menubuhkan ‘normal baharu’ dalam operasi syarikat dengan meningkatkan aras tanda kebersihan keseluruhan premis dan pekerja. Pada masa yang sama, ia dapat diadaptasi ke dalam SOP kebersihan premis yang sedia ada agar kebiasaan ini menjadi salah satu penebat kepada sebarang kontaminasi kuman dalam kawasan operasi.
  • Menjadikan SOP kebersihan diri dan persekitaran ini diamalkan oleh setiap pekerja, agar dapat dipraktikkan secara berkekalan bukan sahaja di tempat kerja, malah menjadikannya sebagai tabiat kebersihan di rumah dan juga di dalam kalangan keluarga masing-masing. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap kebersihan diri pekerja, dan mengelakkan diri mereka dari mudah dijangkiti kuman atau penyakit.

Penutup

Apa yang boleh KL simpulkan di sini adalah tanggungjawab menjaga kebersihan diri dan persekitaran perlulah dipikul oleh setiap individu dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kita mestilah menjadi ‘frontliner’ kepada diri sendiri dan keluarga, dengan mematuhi langkah-langkah penjagaan termasuklah membersikan persekitaran dengan menggunakan produk disinfektan yang betul. Kita perlu mengambil tahu cara menyahkuman yang betul, serta penggunaan bahan aktif yang telah diuji keberkesanannya. Bukanlah hanya sekadar membersihkan rumah semata-mata. Segala tindakan kita pada hari ini akan memberi impak kepada kesihatan diri kita sendiri, keluarga, dan masyarakat pada masa yang akan datang.

Panjang pula KL membebel kali ini. Baiklah itu sahaja dari KL. KL nak sambung buat projek baru pula. Jangan lupa ikuti Facebook dan YouTube rasmi KL: “Eiyma Jalil” untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kajian dan pembangunan produk kosmetik, kesihatan, dan penjagaan diri.

Selamat berpuasa semua!

Rujukan:

  1. Stability of SARS-CoV-2 in different environmental conditions. Published: April 02, 2020 DOI: https://doi.org/10.1016/S2666-5247(20)30003-3
Eiyma Jalil
Eiyma Jalil

CEO dan Director R&D di GIM Cosmetics Sdn Bhd. Obses untuk melihat wanita tampil cantik tanpa mengira warna kulit.

Comments

Article