3 Terma ini berbeza dan ramai yang telah keliru – Disinfeksi, Nyahkuman dan Sanitasi.

Share
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

Assalamualaikum wbt kepada para pembaca yang diraikan. Hari ni KL ingin membuat sedikit perkongsian mengenai disinfeksi ataupun nyahkuman. Semenjak wabak COVID-19 ni merebak, kita sering kali mendengar terma-terma seperti cucian (cleaning), sanitasi (sanitizing) dan nyahkuman atau disinfeksi (disinfecting) tetapi masih ramai yg KL tengok masih belum betul-betul faham dan keliru dengan terma-terma ni.

Penting ke kita faham KL? Ya, sangat-sangat penting sebab dengan pengetahuan inilah kita akan memilih produk yang tepat untuk mendapatkan cucian yang mendalam, suci dan murni terhadap apa yang kita ingin bersihkan tu. KL nampak ramai yang salah guna produk tertentu untuk tujuan yang tidak menepati fungsi sebenar produk tersebut.

Terma Berbeza yang Saling Berkaitan

Di musim Covid-19 ini, sangat penting mempunyai produk disinfectant di rumah masing-masing.

Seperti yang kita tahu, Organisasi Kesihatan Dunia atau World Heath Organisation (WHO) dan Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan atau Centers for Disease Control and Prevention (CDC) telah menyarankan langkah pencegahan yang paling baik bagi mengelakkan jangkitan dan penularan wabak COVID-19 iaitu kita perlu menjaga dan meningkatkan tahap kebersihan diri dengan sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air selama sekurang-kurangnya 20 saat. Walau bagaimanapun, apabila ketiadaan akses terhadap air, cara pembasmian kuman yang efektif adalah dengan menggunakan hand sanitizer. Ini dinamakan proses sanitasi.

Sebelum ini KL telah pun kongsikan mengenai pembasmian kuman menggunakan alkohol di sini.

*****Ingat ya, artikel ini KL tulis dari sudut pandangan keadaan tanpa akses kepada air dan sabun*****

Proses disinfeksi ataupun nyahkuman pula adalah proses pembasmian kuman pada permukaan selain kulit. Disinfeksi seringkali menggunakan bahan larut air (formula berasaskan air), dan bukan berasaskan alcohol. Proses disinfeksi dilaksanakan pada permukaan yang keras dan tidak telap air. Ia perlu dilaksanakan SELEPAS permukaan tersebut dicuci dengan sabun atau pencuci, dan juga setelah dibilas dengan bersih.

Okay, kalau nak tahu lebih mendalam jemput baca penulisan KL ni ya.

Cucian

Definisi cucian ialah proses membersihkan secara fizikal dan mekanikal ke atas sesuatu permukaan. Ini termasuklah permukaan kulit seperti tangan, badan dan muka, pakaian, alat-alatan dan persekitaran seperti lantai, tombol pintu, suiz lampu dan sebagainya.

Super sensitive beauty soap sangat sesuai bagi mereka yang menghadapi kulit extra kering dan eczema.

Aktiviti mencuci dengan menggunakan air dan sabun dengan cara mengelap, menggosok dan memberus akan memisahkan habuk, debu serta kotoran yang boleh dilihat dengan mata kasar selepas permukaan tersebut dibilas. Namun, proses ini terhad jika ketiadaan akses kepada air, atau jika permukaan tersebut menjadi rosak jika dibasuh dengan air sabun, seperti kotak kertas contohnya. Permukaan jenis ini tidak sesuai untuk dicuci dengan menggunakan air dan sabun untuk menyahkuman.

Secara kasarnya proses cucian ini boleh membersihkan sesuatu dengan baik secara fizikal tetapi tidak menjaminkan pembasmian kuman dan bakteria yang baik.

Nyahkuman

Nyahkuman adalah proses menyeluruh kepada pecahan sanitasi dan disinfeksi. Nyahkuman bermaksud membunuh kuman. Ia hanyalah sebagai satu kata kerja manakala sanitasi dan disinfeksi adalah suatu proses. Jelas ya.

Sanitasi

Sanitasi merupakan proses menyahkuman, tetapi lebih terjurus dan fokus kepada pembersihan diri seperti permukaan kulit dan badan. Proses ini seringkali merujuk kepada proses menyahkuman di tangan dengan menggunakan hand sanitizer tanpa perlu membilas.

Hausanitizer adalah produk sanitasi yang menggunakan alkohol 70%

Penggunaan hand sanitizer mampu membunuh, memusnahkan atau menyah-aktifkan kuman tersebut, tetapi tidak mampu menghilangkannya dari permukaan tangan kerana tiada proses pembilasan. Ini bermaksud, tangan anda masih dipenuhi sisa kuman dan bakteria yang telah mati. Kerana itu penggunaan air dan sabun adalah lebih diutamakan kerana proses membilas dapat menyingkirkan kuman dan bakteria sepenuhnya dari tangan.

Sanitasi kulit juga kebiasaannya menggunakan bahan aktif anti-septic seperti alcohol, iodin, dan lain-lain. Contohnya di hospital, alcohol swab akan disapu sebelum suntikan dan iodin pula disapu pada kulit sebelum pembedahan ataupun pada kulit yang luka untuk mengelakkan jangkitan kuman pada luka di masa hadapan.

Oh ya, perlu diingatkan lagi sekali tidak semua alcohol boleh digunakan sebagai hand sanitizer ya. Methanol sangat toksik kepada tubuh badan dan sangat mudah meresap melalui kulit. Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai penggunaan alcohol dan hand sanitizer boleh baca di sini.

Disinfeksi

Disinfeksi yang juga kebiasaannya dipanggil sebagai nyahkuman kerana ia adalah proses membunuh atau menyah-aktifkan kuman yang berpotensi mendatangkan jangkitan kepada manusia. Ianya lebih spesifik berbanding sanitasi. Spesifik maksudnya? Teruskan membaca.

Proses disinfeksi ini perlu menggunakan bahan-bahan yang terbukti efektif terhadap kuman termasuklah bakteria, virus berselaput (enveloped) dan tidak berselaput (non-enveloped), mycobacteria, kulat (fungus) serta spora. Jika sesuatu bahan hanya dapat membasmi beberapa jenis kuman sahaja, ianya tidak boleh dikira sebagai efektif terhadap “broad spectrum germs”. Maksudnya, ia tidak dapat membunuh lebih banyak jenis kuman.

Haus VIR Disinfectant adalah salah satu product disinfeksi yang secara saintifik terbukti membunuh kuman dan virus sehingga 99.99%

Semakin banyak jenis kuman yang dapat dibunuh maka semakin berkesanlah proses disinfeksi itu, dan semakin baguslah sesuatu produk disinfektan tersebut.

Perbezaan antara Sanitasi dan Disinfeksi

KL kongsikan di sini apa yang KL study di laman CDC:

Mencuci – Menyingkirkan kuman, kotoran, dan habuk dari permukaan dan objek. Gerak kerja mencuci adalah dengan menggunakan sabun dan air bagi menyingkirkan kuman secara fizikal dari atas permukaan. Proses mencuci tidak semestinya dapat membunuh kuman, tetapi dengan menyingkirkan mereka, ia dapat mengurangkan kuantiti kuman dan mengurangkan risiko penularan jangkitan.

Sanitasi – Mengurangkan kuantiti kuman di atas permukaan kulit dan objek kepada tahap selamat sepertimana yang ditetapkan oleh garis panduan dan piawaian kesihatan awam. Gerak kerja sanitasi adalah cara mencuci atau menyahkuman permukaan dan objek untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan.

Disinfeksi – Membunuh kuman di permukaan dan objek. Gerak kerja disinfeksi adalah dengan menggunakan bahan kimia yang khusus untuk membunuh kuman-kuman yang tertentu. Proses disinfeksi tidak semestinya perlu mencuci, tetapi jika dilakukan selepas proses mencuci, ianya jauh lebih berkesan untuk mengurankan risiko penularan jangkitan.

Kalau rasa terlalu berat apa yang KL tulis di atas, mungkin boleh faham lebih jelas di bawah. KL lukiskan jadual pula. Hehehehe.

Ringkasan perbezaan antara sanitasi dan disinfeksi:

 SanitasiDisinfeksi
Jenis PermukaanKulit dan anggota badanPermukaan keras yang tidak telap air, boleh juga digunakan untuk permukaan telap air seperti baju, dengan proses tertentu seperti rendaman.
Bahan yang digunakanAlkohol, antiseptikCecair nyahkuman berasaskan air, bahan kimia aktif yang khas
RegulasiDi bawah pemantauan regulasi kosmetik KKM atau regulasi ubat jika menggunakan bahan aktif dengan skop perubatanTiada pemantauan atau di bawah mana-mana regulasi.
Pendaftaran ProdukPerlu berdaftar dengan kod NOT atau MALTidak perlu berdaftar
Contoh bahan aktifEthanol, Isopropyl Alcohol, Chlorhexidine, peroxides.Peroxides, Quartenary Ammonium, Hypochorite, Acids, Chlorine, Phenols
Kawalan Bahan AktifMempunyai had dos yang selamat untuk kulit. Walaupun bahan yang sama turut digunakan dalam produk disinfeksi, namun dos untuk produk sanitasi kulit selalunya lebih rendah supaya selamat digunakan.Dos yang digunakan tidak mengambil kira kesan terhadap kulit. Selalunya peratusan bahan aktif lebih tinggi, untuk membolehkan proses menyahkuman secara lengkap dan menyeluruh.
Tekstur ProdukCecair, gel atau krim yang sedia diguna (ready-to-use)Cecair sedia guna atau cecair berkonsentrasi pekat (concentrated) yang perlu dilarutkan dengan air sebelum digunakan.
Durasi ‘contact time’ (jumlah masa yang diperlukan untuk produk berfungsi sepenuhnya)Jangkaan durasi 15 saat hingga 1 minit, bergantung kepada formulasi. Produk disapu atau disembur pada kulit, perlu digosok meliputi keseluruhan permukaan kulit dan dibiarkan tanpa membilas.30 saat sehingga 10minit. Produk perlu disembur, lap atau mop pada permukaan, dan dibiarkan basah dengan bahan disinfektan sehingga ianya kering dengan sendiri. Jika permukaan dilap kering sebelum tempoh masanya, produk tidak cukup masa untuk membasmi kuman, menjadikannya tidak efektif.
Penting untuk kita sebagai pengguna paham perbezaan antara sanitasi dan disinfeksi

Bagaimana Produk Sanitasi dan Disinfeksi Membasmi Kuman?

OK, kat sini agak teknikal sikit tapi KL tetap nak share juga fakta ni. Kesemua bahan aktif yang digunakan di dalam produk sanitasi kulit dan produk disinfeksi bertindak membasmi kuman dengan cara merosakkan struktur kuman tersebut. Ianya akan melekat pada membrane luaran kuman dan bakteria lalu melarutkannya, memecahkan rantaian protein yang terkandung di dalam virus, dan memusnahkan spora pada kulat. Ada sesetengah bahan aktif yang turut bertindak balas dengan cara menyah-aktif enzim di dalam bakteria serta mengubah struktur asal dinding sel bakteria tersebut. Kesemua mekanisma ini akan mengakibatkan kuman tersebut musnah atau tidak lagi aktif, seterusnya tidak akan menyebabkan jangkitan. [sumber]

Walau bagaimanapun, bahan aktif yang digunakan ini tidak dapat membasmi kuman jika ianya tidak digunakan dengan cara yang betul. Contohnya, kesan nyahkuman oleh alkohol akan bertindak dalam masa 30 saat atau lebih. Jika kita hanya menggunakan sedikit sahaja hand sanitizer beralkohol, ianya akan meruap dengan hanya beberapa saat sahaja tanpa sempat kita gosokkan ke serata tangan. Menurut WHO, jumlah hand sanitizer yang perlu digunakan adalah ‘a palmful’, iaitu sebanyak tapak tangan agar mencukupi untuk gosokan keseluruh permukaan tangan dalam masa 30 saat!

Begitu juga dengan formulasi disinfektan, ada sesetengah bahan aktif perlu sekurang-kurangnya 5 hingga 10 minit untuk ianya bertindak membunuh kuman dengan efektif. Jika permukaan objek tersebut dilap dengan disinfektan, ianya perlu kekal basah dengan bahan disinfektan selama jangka masa itu. Oleh yang demikian, cara penggunaan produk yang betul adalah amat penting, bukan cuma kandungan bahan aktif disinfektan tersebut. Jadi, amat penting bagi pengguna membaca label produk dengan teliti agar tidak berlaku kesilapan. [sumber]

Selain itu juga, produk disinfektan selalunya akan diuji keberkesanannya melalui ujian makmal. Terdapat beberapa ujian dengan piawai yang tertentu, bergantung kepada kesan apa yang hendak diuji, jenis produk apa yang diuji, kuman apa yang ingin diuji dan permukaan apa yang ingin diuji. Antara ujian piawaian tersebut adalah: [sumber]

  1. EN 1040 – menguji kesan produk terhadap bakteria gram positif dan gram negative, produk perlu berupaya membunuh 99.999% bakteria (Log 5 reduction)
  2. EN 1275 – menguji keberkesanan produk terhadap fungus (yeast)
  3. EN 14347 – menguji keberkesanan produk terhadap kulat spora (sporicidal)
  4. EN 14885 – ujian untuk produk disinfektan dan antiseptic untuk kegunaan perubatan, veterinary, makanan, industri, kediaman dan institusi. 
  5. EN 14476 – menguji keberkesanan produk terhadap virus untuk kegunaan dalam hand sanitizer, disinfektan atau antiseptic. Ianya menguji beberapa jenis virus termasuklah Poliovirus, Adenovirus, Norovirus. Produk perlu berupaya membunuh 99.99% daripada virus yang diuji (Log 4 reduction), dengan jumlah masa yang pendek.

Kesimpulan

Jadi, apa yang dapat KL simpulkan di sini adalah yang pertama, sesuatu produk yang ingin menyatakan fungsi yang berupaya membunuh dan membasmi kuman, bakteria, kulat, spora, dan virus WAJIB melaksanakan pelbagai ujian makmal yang berasingan bagi membuktikan keberkesanan produk tersebut.

Yang kedua sebagai pengguna, adalah sangat-sangat penting untuk kita memahami apa yang ditulis pada label produk agar tidak tertipu dengan tulisan si penjual.

Yang ketiga, pilihlah dengan bijak produk yang tertentu untuk fungsi yang tertentu. Contohnya sanitizer dan disinfektan, kedua-duanya berfungsi untuk menyahkuman namun, formulasi, tujuan khusus dan langkah penggunaan kedua-keduanya adalah berbeza.

Akhir kata dari KL, ambillah tahu supaya kita tidak keliru.

#eiymajalilNah, Hausanitizer dah siap, isnin kita tampal sticker kemudian ready untuk jual. Ingat KL pesan apa? Bukan…

Posted by Eiyma Jalil on Jumaat, 13 Mac 2020

Rujukan:

  1. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK144041/#parti_ch11.s18
  2. https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/prevent-getting-sick/cleaning-disinfection.html?CDC_AA_refVal=https%3A%2F%2Fwww.cdc.gov%2Fcoronavirus%2F2019-ncov%2Fprepare%2Fcleaning-disinfection.html
  3. https://icidportal.ha.org.hk/Home/File?path=/Training%20Calendar/113/Lecture%207_%20Assessing%20the%20efficacy%20Kiernan%20HK%20Nov%202017.pdf
Eiyma Jalil
Eiyma Jalil

CEO dan Director R&D di GIM Cosmetics Sdn Bhd. Obses untuk melihat wanita tampil cantik tanpa mengira warna kulit.

Comments

Article