Jangan terpedaya dengan hand sanitizer PALSU yang dikatakan mampu membunuh kuman dan virus Covid-19.

Share
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua pembaca KL yang dikasihi. Seperti yang semua tahu, seluruh negara sedang dikejutkan dengan penularan wabak COVID-19 yang telah bermula dari Wuhan, China sejak penghujung tahun 2019 yang lalu. Disini KL ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada individu yang terlibat. Semoga terus tabah dan kuat semangat untuk melawan wabak pandemik yang sedang melanda ini.

Sebelum ini KL telah kongsikan mengenai SPF disini, hari ini KL merasakan satu tanggungjawab untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang penggunaan alkohol di dalam formulasi kosmetik terutamanya hand sanitizer yang ketika ini menjadi satu fenomena. Kita perlu paham bagaimana hand sanitizer ini berfungi membantu dalam menghapuskan kuman dan virus Covid-19.

Persepsi Haram dan Halal Alkohol

Masih terngiang-ngiang di telinga KL akan suara founder-founder kosmetik yang datang ke kilang KL dan menyatakan TIDAK kepada penggunaan alkohol di dalam formulasi produk mereka. Hanya semata-mata kerana ingin berpegang kepada perkataan HALAL, mesra wuduk, mesra solat dan sebagainya. Ianya seolah-olah ibarat satu boikot kepada alkohol, alkohol dipandang hina hanya kerana ia bernama alkohol. KL juga merasakan ianya satu penghinaan kepada kilang KL yang berstatus HALAL.

Apabila terjadi situasi seperti yang sedang dihadapi seluruh dunia ketika ini di mana wabak pandemik COVID-19 akibat virus novel coronavirus melanda, ehhh tiba-tiba semua founder seperti cacing kepanasan, masing-masing berlumba mencari pengeluar hand sanitizer yang menggunakan formula 60% alkohol ke atas seperti yang disarankan oleh Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan atau Centers of Disease Control and Prevention (CDC). Sehinggakan pada hari ini, terdapat produk hand sanitizer yang dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan formula palsu dan sebenarnya kandungan alkoholnya juga tidak mencapai garis panduan yang cukup untuk menbunuh bakteria dan kuman.

Maafkan KL ya agak beremosi dalam tulisan kali ini. Suka KL tekankan di sini, bahawa skop alkohol itu luas. Skop HALAL juga sangatlah luas. Jadi hari ini KL minta 5 minit sahaja untuk anda baca, hadam, dan belajar sesuatu dari penulisan ini mengenai alkohol. Baiklah, mari kita mulakan.

Bismillah. Sebelum itu, segala tulisan dan perkongsian KL di bawah ini adalah berdasarkan dari sumber rujukan dan kajian yang tepat, sah dan dipercayai. KL hanya berniat untuk menyampaikan semula maklumat-maklumat ini dalam cara penyampaian yang lebih mudah difahami oleh masyarakat. KL juga menulis dari sisi seorang pemilik sebuah kilang pembuatan kosmetik dan telah mengetuai bahagian R&D produk sejak 8 tahun yang lalu sehingga hari ini.

Abaikan muka tegang KL kalau “on-duty” memang macam tu

Penggunaan Alkohol di dalam Kosmetik

Pertamanya, formulasi produk kecantikan ini adalah merupakan salah satu cabang di dalam bidang sains yang membabitkan variasi bahan dari pelbagai sumber merangkumi tumbuhan, haiwan dan juga bahan-bahan yang dihasilkan secara sintetik. Secara amnya, setiap satu bahan itu dipilih untuk fungsi tertentu yang penting dalam menghasilkan formulasi yang berkesan, stabil, dan selamat untuk pengguna.

Salah satu bahan yang banyak digunakan dalam formulasi produk penjagaan kulit dan juga makeup adalah Alkohol.

Apa itu Alkohol dan Apakah Kepentingannya?

Alkohol merupakan satu bahan ‘solvent’ atau pelarut yang dihasilkan sama ada secara sintetik, ataupun dari sumber tumbuhan. Kebanyakan alkohol yang digunakan di dalam industri dihasilkan secara sintetik, namun terdapat juga alkohol yang diproses dari sumber tumbuhan seperti tebu atau jagung yang kini banyak digunakan di dalam penghasilan produk kosmetik.

Struktur sebatian kimia bagi Ethyl alcohol atau Ethanol

Secara asasnya, alkohol ialah sebatian yang mengandungi unsur Karbon (C) yang terikat dengan kumpulan hidroksil iaitu gabungan sejoli antara oksigen dan hidrogen (-OH). Jenis-jenis alkohol yang berbeza dinamakan mengikut jumlah rantaian unsur Karbon yang terdapat di dalamnya. Seperti contoh, alkohol yang mempunyai 1 unsur Karbon dinamakan Methanol manakala dengan 2 unsur Karbon ia dinamakan Ethanol dan begitulah seterusnya. Boleh rujuk di sini untuk melihat cara penamaan alkohol dengan lengkap. Manalah tahu ada di antara pembaca-pembaca KL yang berminat nak menamakan alkohol baru, hehe.

Di dalam penghasilan produk kosmetik, alkohol yang paling banyak digunakan adalah jenis Ethyl Alcohol atau nama manjanya ialah Ethanol yang mempunyai rantaian karbon yang pendek iaitu sebanyak 2 sahaja. Oleh itu, ianya mempunyai sifat yang ringan dan cair seperti air, namun sangat mudah meruap dan tersejat terus ke persekitaran. Disebabkan oleh sifat-sifat inilah Ethanol banyak digunakan di dalam formulasi produk kosmetik yang memerlukan penyerapan yang pantas.

Mungkin ada yang hairan, jika Ethanol menjadi pilihan dalam formulasi kosmetik kerana rantaian Karbonnya yang sedikit, mengapa tidak Methanol? Inilah pentingnya untuk kita mengenal setiap ciri dan karekter setiap jenis alkohol. Walaupun dari keluarga yang sama iaitu alkohol, namun sifat setiap satu mereka adalah tidak sama. Analogi mudahnya seperti kita sendiri. Walaupun kita dilahirkan di dalam satu keluarga, namun setiap seorang adik beradik memiliki sifat dan sikap yang berbeza. walaubagaimanapun, setiap seorang pasti mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Seperti Methanol, walaupun hanya berbeza 1 rantaian unsur Karbon, ia ternyata bersifat toksik dan beracun kepada manusia berbanding Ethanol. Penjelasan yang lebih lanjut mengenai ketoksikan Methanol terhadap manusia boleh didapati di sini.

Simbol toksik bagi bahan beracun seperti Methanol

Di dalam penamaan bahan kosmetik atau INCI, Ethanol seringkali ditulis sebagai Alcohol Denat., ataupun SD Alcohol (Specially Denatured Alcohol). Denatured Alcohol pula bermaksud alkohol yang telah diubah supaya menjadi toksik dan tidak lagi boleh diminum dengan penambahan bahan “denaturing” yang menyah-aslikan sifat semulajadi alkohol tersebut. Oleh itu, Denatured Alkohol tidak lagi bersifat memabukkan, malahan beracun jika terminum. Contoh bahan “denaturing” yang sering digunakan adalah Methanol. Jabatan Fatwa Kebangsaan telahpun mendeklarasi Alkohol yang diguna sebagai “solvent” atau bahan pelarut hukumnya adalah HARUS sekiranya alkohol tersebut bukanlah terhasil dari proses pembuatan arak.

Perbezaan Alkohol untuk Minuman dan Alkohol Gred Kosmetik

Inilah perkara yang seringkali menjadi perdebatan malah sehingga menjadi perbalahan ramai mengenai isu HALAL dan HARAM bagi alkohol. Sepanjang kilang kosmetik KL beroperasi sejak 8 tahun yang lepas sehingga kini, masih terlalu ramai yang belum dapat membezakan alkohol minuman yang HARAM bagi umat Islam dan alkohol bergred kosmetik yang HALAL digunakan semua.

Pembuatan alkohol minuman adalah melalui proses penapaian (yang KL tidak akan kongsikan maklumat lebih lanjut dikhuatiri menjadi “diy” oleh pembaca) dan alkohol yang terhasil dinamakan sebagai Arak adalah asli tanpa sebarang campuran bahan lain. Arak adalah minuman yang bersifat memabukkan dan mendatangkan kemudaratan kepada manusia. Alkohol minuman ini statusnya adalah HARAM dan tidak mungkin boleh boleh digunakan di dalam formulasi kosmetik.

Manakala pembuatan alkohol bagi kegunaan kosmetik pula dihasilkan samada secara sintetik ataupun diambil berasaskan dari sumber tumbuh-tumbuhan. Kebiasaannya, alkohol dari sumber tumbuhan lebih mudah mendapat pengiktirafan HALAL. Namun, alkohol sintetik juga boleh mendapat pengiktirafan HALAL kerana ia bukanlah alkohol yang dihasilkan dari proses penapaian. Alkohol yang digunakan untuk formulasi ini mempunyai pelbagai gred, contohnya alkohol gred farmaseutikal dan alkohol gred kosmetik.

Antara Kegunaan Alkohol di dalam Kosmetik

#1: Alcohol digunakan secara meluas di dalam facial toner dan makeup remover

Alkohol di dalam produk skincare banyak digunakan di dalam facial toner dan makeup remover oleh kerana sifatnya yang mudah meruap dan juga kebolehan alcohol untuk melarutkan sisa-sia bahan berminyak dari makeup yang waterproof. Ianya mampu membersihkan makeup yang sukar dicuci dengan pencuci muka biasa.

#2: Alkohol mampu mengecil pori-pori wajah

Di dalam formulasi facial toner, alkohol mampu memberikan kesan astringent, iaitu pengecilan pori-pori buat seketika. Ini kerana apabila alkohol meruap, ianya menghasilkan kesan pengecilan pori yang sementara akibat kehilangan kelembapan dari kulit.

Walau bagaimanapun, kesan ini turut menyebabkan kulit menjadi lebih kering dan kurang hidrasi, dan ianya akan mengambil masa yang lama untuk kulit kita membentuk kembali kelembapan tersebut, dan kadangkala menyebabkan kulit menghasilkan sebum berlebihan dan seterusnya menjadikan kulit lebih berminyak. Bagi kulit yang sensitif, luka atau mempunyai jerawat terdedah, penggunaan produk yang mengandungi alcohol yang tinggi boleh menyebabkan kemerahan, iritasi dan rasa pedih pada kulit. Penggunaan produk seperti serum, dan pelembap dapat membantu.

#3: Alcohol juga digunakan di dalam produk anti-jerawat

Alkohol turut digunakan di dalam produk anti-jerawat kerana keupayaannya sebagai antibakteria yang boleh membasmi bakteria jerawat pada kulit. Walau bagaimanapun, alcohol akan turut mematikan bakteria baik pada kulit yang sangat penting dalam melindungi kulit dari jangkitan mikrob serta akan menjejaskan keseimbangan microbiome semulajadi pada kulit. Dengan itu, pentingnya penggunaan produk penjagaan kulit secara teratur.

#4: Alcohol seringkali digunakan untuk produk makeup yang memberi fungsi cepat kering

Di dalam formulasi makeup pula, alcohol seringkali digunakan untuk menghasilkan produk yang lebih mudah kering dan melekat pada kulit seperti foundation, mascara dan eyeliner. Sifat meruap pada alcohol memudahkan produk-produk ini disapu dan kering dengan cepat serta tidak meleleh.

#5: Alcohol digunakan secara meluas di dalam industri perfume

Alcohol juga merupakan bahan utama dalam perfume, di mana ianya diguna dalam lingkungan 70 – 90% untuk melarutkan pati pewangi yang berbentuk minyak serta memudahkan pewangi tersebut disembur dengan sekata tanpa kesan tompokan pada pakaian.

#6: Alcohol digunakan secara besar-besaran di dalam hand sanitizer

Hand Sanitizer (pembersih tangan) adalah cecair atau gel yang biasanya digunakan untuk mengurangkan dan membunuh bakteria dan kuman di tangan. Formulasi hand sanitizer mempunyai 2 jenis iaitu jenis yang tidak mengandungi alkohol dan juga seperti kebanyakkan di pasaran adalah yang berasaskan alkohol yang mana formula berasaskan sekurang-kurangnya 60% alkohol telah terbukti mampu membunuh bakteria dan kuman sekiranya digunakan dengan langkah yang betul. (sumber) Walaubagaimanapun,sabun dan air adalah bahan membunuh kuman, bacteria dan virus yang paling berkesan kerana sabun mempunyai surfactant.

Bagaimanakah Hand Sanitizer Berasaskan Alkohol Mampu Membunuh Virus?

KL nampak begitu ramai yang telah membangkitkan polemik dalam kalangan masyarakat berkenaan sejauh manakah kemampuan alkohol untuk membunuh virus? Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan atau Centres for Disease Control and Prevention (CDC) telah pun berkongsi di sini bahawa sanitizer berasaskan alkohol dapat menyingkirkan pelbagai jenis mikrob apabila digunakan dengan cara yang betul.

Mikrob bermaksud mikroorganisma yang sangat kecil dan halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia termasuklah bakteria, kulat, archaea, protista dan juga virus. Terdapat begitu banyak kajian yang telah dijalankan oleh para penyelidik yang membuktikan bahawa alkohol dapat menghapuskan beberapa jenis virus termasuklah satu wabak pandemik yang lepas, iaitu Influenza A atau juga dikenali sebagai H1N1. Beberapa kajian juga telah berjaya membuktikan bahawa sanitizer adalah merupakan pilihan alternatif yang berkesan bagi kebersihan tangan selain sabun dan air dengan hasil yang signifikan.

Melalui penulisan seorang doktor yang suatu ketika dahulu menjadi bualan kerana kecemerlangannya di dalam pelajaran iaitu Dr. Nur Amalina, beliau juga menyifatkan individu yang menyebarkan maklumat bahawa hand sanitizer tidak berkesan ke atas virus sebagai satu nasihat yang buruk. Ini kerana, struktur sesuatu virus terdapat suatu lapisan membrane luar seperti sampul yang terdiri daripada “lipid” atau lebih mudah dikatakan sebagai minyak dan lemak. Hand sanitizer berasaskan 60% dan ke atas alkohol dapat menghapuskan lapisan sampul virus tersebut. Dengan ketiadaan lapisan sampulnya, virus tidak akan dapat meneruskan hidup dan memasuki sel badan manusia.

Kesimpulan

Secara jujurnya bagi KL sebagai seorang muslim, telah menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama membantu menbendung wabak pandemik COVID-19 yang semakin menular di seluruh dunia ini. Kerana itulah KL hasilkan hand sanitizer dengan formula 70% alkohol dari kilang kosmetik HALAL KL sendiri iaitu GIM Cosmetic Industries Sdn. Bhd. Bagi KL, ni hanyalah usaha kecil dari KL dengan seikhlas hati untuk membantu masyarakat melindungi dan mencegah diri sendiri dan keluarga dari virus yang kian merebak ini.

Umum mengetahui negara kita Malaysia telah pun dikejutkan dengan kes kematian dari wabak COVID-19. KL minta sangat-sangat, tolonglah jaga diri masing-masing dengan baik. Sediakan peralatan perlindungan seperti hand sanitizer, face mask, sarung tangan dan seumpamanya. Tolong patuhi segala nasihat dan arahan dari pihak kerajaan. Sentiasalah ikuti perkembangan mengenai wabak ini di laman web yang sah seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Akhir sekali, marilah sama-sama kita doakan semoga keadaan kembali pulih seperti sediakala dan bebas dari wabak COVID-19 secepat mungkin. Terima kasih kepada kumpulan “frontliners”, benteng hadapan masyarakat yang begitu penat lelah memastikan pembendungan wabak ini. Semoga terus diberikan kekuatan.

Sekian, terima kasih menyudikan diri membaca bebelan KL pada kali ini. Insyaallah kita berjumpa lagi di post yang akan datang. Mungkin boleh tinggalkan di ruangan komen, topik apa yang anda ingin KL kupaskan?

Eiyma Jalil
Eiyma Jalil

CEO dan Director R&D di GIM Cosmetics Sdn Bhd. Obses untuk melihat wanita tampil cantik tanpa mengira warna kulit.

Comments

Article